Dendam Musyrikin bergelora dalam Perang Uhud

Dendam Musyrikin bergelora dalam Perang Uhud

Dipetik dari : MANHAL PMRAM

Peperangan Uhud
Tahun berlaku : 7 Syawal, dan ada yang mengatakan pada 15 Syawal tahun ke-3 Hijriah.
Tempat peperangan : Berdekatan bukit Uhud di Madinah Al-Munawwarah

Ketua tentera muslimin : Nabi Muhammad S.A.W.
Bilangan tentera muslimin : 700 orang
Pemegang panji : Mus'ab bin Umayr
Bilangan syuhada' : 70 orang.


Ketua tentera musyrikin : Abu Sufyan Sakhr bin Harb
Bilangan tentera musyrikin : 3000 orang
Pemegang panji : Talhah bin Uthman
Bilangan tentera yang terbunuh : 22 orang menurut pendapat Ibnu Ishaq, dan 37 orang menurut pendapat Sofiyurrahman Al-Mubarakfuri (pengarang kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum).

Sebab peperangan – Telah berkata Imam Ibnu Jarir At-Thabari (Perkara yang menyebabkan berlakunya perang Uhud antara Nabi S.A.W dan kaum musyrikin Quraisy ialah pertempuran Badar, apabila telah terbunuh di dalamnya pemimpin Quraisy dan pemukanya).



Sebelum peperangan

Ketika Abu Sufyan pulang dalam keadaan selamat bersama tunggangannya ke Makkah, dalam masa yang sama tentera Quraisy pulang dari peperangan Badar dalam kekalahan, datang kepadanya di kalangan mereka yang kehilangan sanak saudara (ayah, anak-anak, dan saudara terdekat) di dalam peperangan Badar. Mereka menawarkan kepadanya bantuan harta untuk memerangi Nabi S.A.W. serta membalas dendam ke atas kaum muslimin. Selepas beberapa ketika, kaum Quraisy berkumpul bersama konco-konconya termasuklah golongan Kinanah dan Tihamah yang kesemuanya bersepakat memerangi Nabi S.A.W.

Mereka keluar dari kota Makkah sehinggalah sampai ke suatu tempat berdekatan dengan bukit Uhud. Ketika itu, Nabi S.A.W. yang telah mengetahui perkhabaran ini bermesyuarat dengan para sahabat di Madinah. Antara persepakatan dalam perbincangan ini ialah :

• Satu kumpulan akan keluar berperang.
• Satu kumpulan yang lain akan menjaga keselamatan dalam Madinah.

Pendirian ini dilihat oleh Nabi S.A.W. sebagai suatu strategi walaupun ramai di kalangan para sahabat yang bersemangat dan ingin keluar berperang. Akhirnya, setelah selesai solat Jumaat Nabi S.A.W. bersama kaum muslimin telah keluar bersama 1000 bala tentera. Di pertengahan jalan, ketua kaum munafiqin iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul telah memainkan peranannya sehingga menyebabkan seramai 300 orang berundur daripada menyertai pasukan tentera kaum muslimin. Nabi S.A.W. bersabda : Dia (Abdullah bin Ubai) telah menderhakaiku, dan taat kepada mereka (musyrikin). Perbuatan ini telah menimbulkan kemarahan baginda sehingga Rasulullah berpendapat bahawa mereka akan diperangi ketika berada di Madinah.

Persiapan bala tentera

Nabi S.A.W. telah memerintahkan tentera muslimin berada dekat kawasan bukit Uhud, sedangakan seramai 50 orang pemanah di bawah kawalan Abdullah bin Jubayr bersiap sedia di kawasan atas bukit yang lain. Antara pesanan Rasulullah kepada dua kelompok ini :

• Bala tentera : Janganlah kamu semua memerangi sesiapa sehingga aku memerintahkan sedemikian.
• Pasukan pemanah : Seranglah pasukan berkuda (musyrikin) dengan panah sehingga mereka tidak dapat menyerang kita dari belakang walaupun kita menang atau kalah (dalam peperangan ini). Tetaplah kamu di tempat ini.


Peristiwa dalam perang Uhud

1. Nabi S.A.W. memberikan pedangnya kepada salah seorang sahabat, Abu Dujanah untuk memerangi musuh.
2. Kaum wanita memainkan peranan apabila turut serta bersama kaum musyrikin sehingga kaum lelaki mereka sentiasa bersemangat dan tidak lari daripada peperangan. Tambahan pula, mereka akan lebih berhati-hati dalam peperangan ini apabila bukan sahaja melindungi diri mereka daripada terbunuh tetapi ahli keluarga mereka daripada terjatuh ke dalam tawanan kaum muslimin.
Antaranya – Abu Sufyan bersama Hindun bt 'Utbah, Ikrimah bin Abu Jahal bersama Ummu Hakim bt Al-Harith bin Hisham bin Al-Mughirah, Safwan bin Umayyah bersama Barzarah bt Mas'ud bin 'Amru bin Umayr As-Tsaqfiyyah.
3. Kesilapan pasukan pemanah muslimin – tentera berkuda musyrikin di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid telah cuba menyerang kaum muslimin dari belakang tetapi ia dapat dipatahkan oleh pasukan pemanah yang berada di atas bukit. Maka beliau dan tentera berkudanya berpatah balik dalam keadaan kaum muslimin berjaya mara ke kawasan tentera musyrikin.
Apabila melihat tentera berkuda Khalid Al-Walid berpatah balik, mereka (beberapa orang daripada pasukan pemanah) telah berkata : Marilah kita mengambil harta rampasan perang. Sebahagian yang lain pula berkata : Jangan ingkar pada pesanan Nabi S.A.W.! Tetapi kebanyakan daripada mereka meninggalkan kawasan bukit sehinggalah perkara ini diketahui oleh Khalid bin Al-Walid dan beliau mengarahkan tentera berkuda musyrikin sekali lagi menyerang kaum muslimin dari belakang. Ketika kaum musyrikin melihat musuh mereka diserang dari kawasan belakang bukit, mereka terus bersemangat dan meneruskan serangan dari hadapan ke kawasan kaum muslimin.
4. Pembunuhan beberapa tokoh Quraisy oleh kelompok tentera muslimin yang dipimpin Saidina Ali K.A.W. iaitu 'Amru bin Abdullah Al-Jumahi dan Syaibah bin Malik.
5. Syahidnya Saidina Hamzah yang dibunuh oleh Wahsyi ketika beliau sedang bertempur dengan Siba' bin Abdil Uza. Setelah ditikam, beliau cuba untuk mengejar Wahsyi tetapi telah jatuh dan syahid di jalan Allah S.W.T.
6. Rasulullah S.A.W. cedera – patah gigi hadapan, luka di kepala dan kawasan muka (pipi).
7. Di akhir peperangan, Rasulullah S.A.W. bersama kaum muslimin naik ke bukit dan diekori kaum musyrikin. Nabi S.A.W. bersabda : Mereka tidak akan dapat mengatasi kita, maka kaum muslimin membaling batu ke arah kaum musyrikin sehingga mereka turun daripada bukit tersebut.
8. Perbuatan kejam kaum Quraisy kepada syuhada' muslimin – mereka telah memotong hidung, telinga dan merobek perut syuhada' muslimin.

Selepas peperangan

1. Wahsyi telah memeluk Islam selepas beberapa tahun dan menggunakan pedang yang sama ketika membunuh Musailamah Al-Kazzab dalam peperangan Al-Yamamah.
2. Antara syuhada' muslimin :
• Abdullah bin Jahsy
• Mus'ab bin Umayr
• Hanzalah bin Abi 'Amir (Ghasil Al-Malaikah)
• Aus bin Tsabit, saudara kepada Hasan bin Tasbit penyair Nabi S.A.W.
• Abdullah bin Jubayr (ketua pasukan pemanah).

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL