[ MINDA PIMPINAN | SABAR DAN SYUKUR ]

SABAR DAN SYUKUR

Kehidupan manusia di dunia ini tentu tidak terlepas dari berbagai hal yang terjadi, baik itu yang disenangi mahupun tidak. Namun, seorang muslim yang sejati haruslah mengingati bahawa semua hal yang terjadi pada kehidupannya sudah ada dalam kehendak Allah, Sang Pengatur takdir manusia. Sehingga dengan menyedari bahawa semua hal yang terjadi pada hidup kita hakikatnya datang dari Allah SWT, dapat menanamkan sikap sabar dan syukur atas segala pemberian dari-Nya.

➡️ Pengertian Sabar dan Syukur

Sabar berasal dari kata “Shabara-Yashburu-Shabaran”: iaitu ketundukan penerimaan apa-apa yang telah Allah berikan baik kesenangan atau kesedihan. Sedangkan syukur berasal dari kata al-syukur (الشكور) atau al-syukru (الشكر). Kata al-syukur merupakan isim mashdar yang berasal dari kata “Syakaro-Yasykuru-Syukron-Wasyukuron” kata ini terambil dari madah (ش ك ر) ertinya berterima kasih atau ucapan/pernyataan terima kasih.

Imam Ibnu Qoyyim Al-jauziyah mendefinisikan sabar dengan budi pekerti yang dapat dibentuk oleh seseorang. Ia menahan nafsu, menahan sedih, menahan jiwa dari kemarahan, menahan lidah dari merintih kesakitan, dan juga menahan anggota badan dari melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Sabar merupakan ketegaran hati terhadap takdir dan hukum-hukum syariat. Sementara itu beliau mendefinisikan syukur dengan menampakkan nikmat Allah melalui lisan dengan cara memuji dan mengakui, melalui hati dengan cara meyakini dan mencintai, serta melalui anggota badan dengan ketaatan, yakni melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

➡️ Bentuk - Bentuk Sabar

• Sabar ketika menghadapi musibah
Sabar menghadapi musibah yang dimaksudkan ialah sabar atas segala ujian yang Allah berikan, baik itu berupa bencana alam, ditinggalkan orang yang dikasihi, ataupun kesusahan-kesusahan lainnya. Seperti yang termaktub dalam surah Al-Baqarah ayat 155.

• Sabar ketika menjalankan ketaatan.
Sabar menjalankan ketaatan bermaksud sabar ketika melakukan amal-amal soleh, seperti membaca Al-Quran, zikir, solat, dan lain-lain. Hal tersebut memerlukan kesabaran dalam menjalankannya agar tetap istiqamah. Bersabar kerana memilih meninggalkan hal-hal yang sia-sia demi mengerjakan ketaatan ataupun meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah s.w.t seperti ghibah, sombong, dan lain-lain.

• Sabar ketika mengekang diri daripada melakukan maksiat.
Tentunya perbuatan maksiat itu sangatlah banyak, maka hal tersebut dapat dihindari dengan bersabar menahan/mengekang diri agar tidak terjerumus ke dalam kemaksiatan dan tidak mengikuti pujuk rayuan syaitan yang akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t

➡️ Bentuk - Bentuk Syukur  

• Bersyukur menerima nikmat syukur yang pertama ini apabila menerima sebuah nikmat terus dengan mengingat dan memuji Allah, kerana apapun yang manusia terima itu semata-mata atas kuasa dan kurniaan Allah s.w.t.

• Bersyukur dengan redha dan puas atas nikmat Allah.
Seterusnya, ketika sudah menerima nikmat yang Allah berikan, lantas mengingat atau memuji-Nya. Kita pun harus menonjolkan sikap kepuasan tersendiri atas nikmat dari Allah kerana nikmat tersebut merupakan bukti tanda cinta dan kasih sayang Allah pada hamba-Nya.

• Bersyukur dengan menggunakan nikmat bukan untuk bermaksiat.
Selain dibuktikan dengan tanda terima kasih dan puas atas nikmat Allah, hal terakhir iaitu dengan menggunakan nikmat tersebut untuk hal yang baik-baik dan bermanfaat bukan untuk bermaksiat kepada Allah. Seperti nikmat sihat yang digunakan untuk melakukan ibadah dan menuntut ilmu.

➡️ Cara agar manusia selalu bersabar dan bersyukur

• Sabar dan syukur dengan hati.
Sabar dan syukur dengan hati dapat membuatkan seorang manusia menerima segala bentuk ujian ataupun nikmat, tanpa adanya kekecewaan ataupun keberatan atas pemberian Allah.

• Sabar dan syukur dengan lisan.
Sabar dan syukur diucapkan dengan lisan iaitu apabila diberi nikmat ia bersyukur dengan mengucapkan “Alhamdulillah” mengembalikan segala pujian hanya untuk Allah dan apabila diberi musibah mengucapkan “Inna lillahi wainna ilaihi raji’un” yang bermaksud mengembalikan semua urusan hanya kepada Allah.

• Sabar dan syukur dengan perbuatan.
Sabar dan syukur dengan perbuatan iaitu mengawal diri untuk tidak mengikuti hawa nafsu untuk melakukan hal yang tidak diredhai Allah serta bersyukur dengan menggunakan nikmat  sebaik-baiknya.

Lalu, apa hadiah yang Allah janjikan untuk hamba-Nya yang sentiasa  bersabar dan bersyukur? Sebagaimana firman-Nya:

وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِيْنَ صَبَرُوْٓا اَجْرَهُمْ بِاَحْسَنِ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ
… “Dan sesungguhnya kami pasti akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl :96)

Dalam Tafsir Ibnu Katsir ayat diatas menjelaskan bahawa hal itu merupakan sumpah Allah yang dikuatkan dengan huruf lam, iaitu sesungguhnya Dia akan membalas berbagai amal perbuatan baik orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari amal mereka dan menghapus berbagai keburukan mereka.

وَاِذْ تَاَذَّنَ رَبُّكُمْ لَىِٕنْ شَكَرْتُمْ لَاَزِيْدَنَّكُمْ وَلَىِٕنْ كَفَرْتُمْ اِنَّ عَذَابِيْ لَشَدِيْدٌ
(Ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku benar-benar sangat keras.” (Surah Ibrahim :7)

Ayat di atas menurut Imam Al-Qurthubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa syukur atas nikmat adalah sebab bertambahnya nikmat tersebut sebagaimana yang telah dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 152.

Maka, sabar dan syukur menjadi sikap yang menghiasi akhlak seorang muslim apabila ia sedang ditimpa musibah ataupun diberi nikmat kerana kedua hal tersebut sama-sama terdapat kebaikan untuknya. Hal ini selaras dengan hadis yang disabdakan oleh nabi: 

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ  إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Sungguh semua urusannya adalah baik, dan yang demikian itu tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali oleh orang Mukmin, iaitu jika ia mendapatkan kegembiraan ia bersyukur dan itu suatu kebaikan baginya. Dan jika ia mendapat kesusahan, ia bersabar dan itu pun suatu kebaikan baginya.” (HR. Muslim)

………………………………………………………...........
Muhammad Daniel Harris bin Mohd Mukhlis
(Lajnah Pendidikan BKPPPM sesi 2022/2023) 
 
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan” 
“Ukhuwah Dipateri, Thaqafah Diamati” 
 
#BKPPPM_KeluargaKita 
#Bersama_Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL