Minda Pimpinan | Ahlan Ya Ramadhan





لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ اْلإِيْمَانِ وَاْلإِسْلاَمِ. وَنُصَلِّيْ وَنُسَلِّمُ عَلَى خَيْرِ اْلأَنَامِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ

Segala puji bagi Allah yang telah memberi sebaik-baik nikmat berupa iman dan islam. Salawat dan doa keselamatanku terlimpahkan selalu kepada Nabi Agung Muhammad S.A.W. berserta keluarga dan para sahabat-sahabat Nabi semuanya.

Allahumma Ballighna Ramadhan.

Bulan Ramadhan yang besar dan penuh keberkatan serta banyak kelebihan ini haruslah disambut dengan penuh perasaan ta’zim dan mengalu-alukannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam Lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain.

Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang soleh bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini. Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan. Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramadhan kali ini. Janganlah kita sia-siakan peluang kali ini kerana mungkin inilah Ramadhan terakhir buat kita. Marilah sama-sama kita merebut peluang ini!

Sebagai muslim yang benar-benar prihatin dengan kehadiran Ramadhan,

1. Kita hendaklah menjaga kesihatan kita sebaik mungkin, supaya kita tidak terlepas peluang untuk melakukan ibadah. 

2. Menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia.

3. Mengambil tahu amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca Al-Quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah.

4. Hendaklah juga mengetahui fatwa-fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.

5. Menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya bulan ini dengan amal ibadah. Kehadiran ke masjid bukan kerana malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan dari Allah Taala.

5. Sentiasa berdoa "Allahumma Ballighna Ramadhan".

6. Mujahadah untuk bangun malam supaya kita tidak liat lagi bangun malam.

7. Menjaga lidah dari perkara keji seperti mengumpat dan mencaci. Semakin banyak percakapan kita, semakin banyak silap yang kita lakukan.

8. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan menyambut Ramadhan.

Ibarat kedatangan tetamu yang mulia, maka tuan rumah yang baik tentu akan mempersiapkan sambutan yang matang. Antara nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadhan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat wal afiat, kita harus bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur. Ramadhan sudah tinggal sejengkal, namun sudahkah umat Islam menyiapkan dengan baik akan kedatangannya?

Akhir kalam, sambutlah Ramadhan dengan membuka lembaran baru yang bersih kepada Allah, dengan taubat nasuha. Dan kepada Rasulullah, dengan meneruskan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya. Kepada keluarga, ibu bapa, isteri, anak dan saudara mara dengan mempereratkan hubungan silaturahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Kerana manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain. Ahlan wasahlan ya ramadhan!

Wallahu 'alam.



NurSolehah Binti Zainon
Timbalan Lajnah Ekonomi BKPPPM Sesi 2018/2019

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Bersama Bersatu"
"Biah Berkualiti"
"Fikrah dan Thaqafah Islamiah"

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL