LAPORAN JAULAH MAQAM MANSURAH - TANTA

LAPORAN JAULAH MAQAM MANSURAH - TANTA


            16 DISEMBER 2017 - Unit Sambutan dan Rehlah Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir sesi 17/18 telah menganjurkan Jaulah Maqam di sekitar Mansurah dan Tanta. Jaulah Maqam yang julung kali diadakan di Mansurah dan Tanta ini dianjurkan bersempena dengan musim imtihan yang bakal tiba. Jaulah ini telah disertai 25 ahli akhawat BKPPPM dan diiringi oleh  seorang musyrif.

Pada jam 7 pagi, semua peserta berkumpul di Dewan Soleh Al-Masri dan memulakan Perjalanan dari Kaherah sekitar jam 7.45 pagi. Perjalanan  dimulakan dengan sedikit taklimat dan doa yang dibacakan oleh  musyrif iaitu saudara Ahmad Fariz bin Mohd Zaini.

Perjalanan ke Mansurah mengambil masa selama hampir dua jam. Maqam pertama yang diziarahi adalah maqam Syeikh Mutawalli Sya'rawi. Beliau merupakan seorang tokoh ulama' besar Mesir yang masyhur. Beliau juga digelar Mujadid abad ke-20 dan berpengaruh dalam bidang keagamaan, sosial, mahupun politik, khususnya di wilayah Timur Tengah. Beliau juga telah menghafal Al-Quran sejak berumur 11 tahun. Pengaruh Syeikh Sya'rawi dapat dilihat di saat akhir kewafatannya pada 17 Jun 1998 di Giza, Mesir. Terdapat banyak syair yang telah beliau hasilkan dan terdapat juga syair yang masih bermain di mulut- mulut para penuntut ilmu  sehingga ke hari ini.

Peserta jaulah seterusnya bergerak ke Maqam yang berhampiran iaitu maqam Imam Muhammad Ibn Abu Bakar. Selepas itu, kenderaan yang dinaiki menuju ke destinasi seterusnya yang mengambil masa sekitar 40 minit perjalanan. Musyrif yang mengiringi peserta memberi  penerangan berkaitan maqam serta menjelaskan kepada peserta kewujudan maqam dan batu bersejarah yang unik . Terdapat  khat kufi bertulis 'Muhammad Abu Bakar' pada batu bersejarah tersebut. Keberadaan para peserta  di maqam tersebut lebih kurang 30 minit.



Pada jam 12.15 tengahari, para peserta bertolak ke Tanta untuk menziarahi maqam yang terdapat disana. Perjalanan tersebut mengambil masa selama dua jam. Setelah coaster tiba di destinasi, para peserta bergerak ke masjid yang terdapat Maqam Sidi Ahmad Badawi. Disitu, para peserta menunaikan solat jama' taqdim dan makan tengahari. Seusai makan dan solat, peserta mengambil kesempatan menziarahi maqam yang terdapat di dalam masjid tersebut. Alhamdulillah, untuk jaulah kali ini semua peserta  diberi peluang dan rezeki untuk bertabaruk dengan janggut Nabi s.a.w. Selesai ziarah maqam yang ketiga, peserta menuju ke maqam terakhir yang berhampiran iaitu maqam Syeikh Kholil . Setibanya di sana, para peserta  sempat berdoa dan memohon hajat yang diinginkan ketika berada di maqam tersebut.

Walaupun jaulah yang dianjurkan ini hanya mengambil masa sehari sahaja tetapi kesan dan kenangan manis tetap terpahat di dalam hati semua peserta. Penerangan yang diberikan berkenaan jaulah maqam kali ini juga, sangat menarik.  

Semoga jaulah maqam ini dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan menghayati dan mentadabbur ciptaanNya. Peserta juga dapat menghayati pengorbanan dan jasa para syeikh dan alim ulamak serta mengembalikan semangat peserta untuk terus berjuang demi Islam.



Unit Sambutan Dan Rehlah BKPPPM 17/18

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL