Peristiwa di bulan Zulkaedah
Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah S.W.T kerana kita
masih lagi dipanjangkan umur dan masih berada dalam nikmat yang
terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Setelah Syawal meninggalkan kita dengan
sejuta keberkatan daripada Allah S.W.T, kini kita telah berada di dalam bulan
Zulkaedah. Setiap bulan Islam tentu ada rahsia yang perlu dicungkilkan untuk
tatapan umatnya supaya setiap sejarah dan sorotan peristiwa menjadi pedoman dan
iktibar untuk perjalanan hidup terutama pada masa kini.
PENGENALAN :
Zu ertinya "yang empunya". Qa'adah ertinya
"duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan
untuk berehat-rehat.
Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat
Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan
yang mulia dan diharamkan berperang.
Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada
bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah
bulan haram ( bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ).
Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan
kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang
padanya.
Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".
Antara peristiwa yang berlaku dalam bulan Zulkaedah
1. Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah
tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu
Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke
perkampungan Bani Quraizah.
Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat
bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab.
Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah
mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka
menyerah kalah.
2. Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun
ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW
mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk
berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan
menunaikan ibadah umrah.
Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat
sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin
dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut
ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih
atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai
memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian
bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah
ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.
Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat
oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa
perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan
"Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW
dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta
tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan
Madinah.
3. Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian
Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Uthman RA ke Makkah untuk membahas
masalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk
mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Uthman bin Affan RA ditahan selama
beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.
Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW
bahawa Uthman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka
Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan
tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".
Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah
Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang
dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama
para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama
menentang orang-orang kafir Quraisy.
Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak
takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas
kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah
SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata :
"Pembai'atan ini untuk Uthman bin Affan".
Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh
pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada
Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Uthman bin Affan itu tidak benar.
4. Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW
meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji
Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.
Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang
terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah
haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan
sejarah.
KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH
Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan
haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan,
perdamaian dan kemaafan.
Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan
peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih
menghormati bulan-bulan haram ini.
Eratkan silaturrahim, yang bermusuh damaikanlah, yang
berdendam berlapanglah dan yang renggang rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh
berkat dan harmoni.
Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah
adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak
mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan
Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji
tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.
Daripada Abu Bakrah sesungguhnya Rasulullah SAW telah
bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah
menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini,
darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu
Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di
antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.
"Memurnikan Pemikiran Meestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"
Comments