Ramadhan Yang Dirindui
لسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد الله رب العالمين
والصلاة والسلام وعلى أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، قالوا
سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم، رب اشرح لي صدري ويسرلي
أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي. أما بعد
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ
عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai
orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”
Marhaban berasal dari perkataan ‘rahb’ yang bererti luas
atau lapang. Ia menggambarkan suasana penerimaan tetamu yang disambut dan
diterima dengan lapang dada serta penuh kegembiraan. Marhaban Ya Ramadhan
(selamat datang Ramadhan), mengandungi erti bahawa kita menyambut Ramadhan
dengan lapang dada, penuh kegembiraan tanpa ada apa-apa keluhan di dalam hati
kita.
Kurang daripada dua minggu lagi, Ramadan bakal bertandang
dengan pelbagai peluang untuk meraih kebaikan, keampunan dan keberkatan. Sering
kita berazam, Ramadan kali ini kita akan melakukan yang terbaik, seolah- olah
inilah Ramadan yang terakhir untuk kita. Namun sering kali jua azam yang
membara menjadi kendur. Hati menjadi korban nafsu dalam pertarungan hebat dalam
diri. Mata, telinga, mulut masih melakukan dosa. Akhirnya puasa sekadar menahan
diri daripada lapar dan dahaga. Kesan berpuasa pada jiwa dan pancaindera masih
ditakuk lama.
Marhaban Ya Ramadhan kita ucapkan untuk bulan yang suci ini
kerana kita mengharapkan agar jiwa raga kita diasah dan diasuh bagi meneruskan
perjalanan menuju Allah swt.
Perjalanan menuju Allah swt itu dilukiskan oleh para ulama’
salaf sebagai perjalanan yang banyak ujian dan tentangan. Ada gunung yang perlu
didaki dan itulah nafsu. Di gunung itu ada lereng yang curam, hutan yang tebal,
bahkan banyak perompak yang mengancam serta iblis yang merayu agar perjalanan
tidak dapat diteruskan. Bertambah tinggi gunung yang didaki, bertambah hebat
pula ancaman dan rayuan serta semakin curam dan ganas pula perjalanan itu.
Namun,
apabila tekad tetap membaja, tidak berapa lama lagi akan kelihatan :
1. Cahaya terang benderang.
2. Petunjuk-petunjuk yang jelas.
3. Tempat-tempat yang indah untuk berteduh.
4. Telaga-telaga jernih untuk melepaskan dahaga.
Ramadan juga mendidik kita menjadi insan yang ikhlas dan
sentiasa medekatkan diri kepada Allah S.W.T. Ikhlas kepada Allah dalam setiap
amalan adalah sifat yang paling terpuji dan bekalan yang mesti diperolehi oleh
setiap mukmin, terutama yang berada di atas jalan dakwah . Sesungguhnya Allah
S.W.T Maha Kaya daripada sebarang perkongsian dan Dia tidak menerima melainkan
amalan-amalan yang ikhlas hanya kerana-Nya.
Mudah-mudahan Ramadan yang bakal mengunjungi kita, tidak
kita lepaskan peluang begitu saja untuk bermesra dengannya. Riak gembira dan
sinar mata ceria pasti terlihat pada diri orang yang beriman, yang menanti
kedatangannya umpama menunggu ketibaan seorang tetamu yang istimewa. Tetamu
yang berkunjung sebulan dalam setahun. Ya Allah, panjangkanlah usia kami untuk
bertemu Ramadhan dan mengikuti jejak Rasul-Mu dalam beramal di bulan Ramadhan.
MUHAMMAD
FAIRUS BIN MAT YASIN
(LAJNAH
PENERANGAN & PENERBITAN BKPPPM SESI
2016/2017 )
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"
Comments