POLIGAMI MENURUT ISLAM

Musuh-musuh Islam yang terdiri daripada Orientalis dan Athies telah mencuba untuk menimbulkan pelbagai persoalan terhadap sistem-sistem Islam dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar untuk memberi keraguan terhadap kebaikan-kebaikan yang ada dalam sistem Islam itu sendiri. Kita dapati segelintir daripada orang Islam menerima pandangan-pandangan mereka dan meyakini dengan fahaman serta pemikiran mereka.

Di antara tuduhan yang cuba ditimbulkan persoalan dan dilancarkan serangan ke atas sistem Islam ialah Islam membenarkan umatnya berpoligami dan perkahwinan Rasullullah SAW dengan sembilan orang wanita. Musuh-musuh Islam telah mengambil perkara ini sebagai satu hujah untuk membuat tuduhan ke atas sistem Islam serta Rasullullah S.A.W itu sendiri. Bahkan, mereka juga menuduh bahawa Islam menggadaikan kemuliaan, penghormatan dan martabat wanita dalam kehidupan.

Sekilas pandang mengenai poligami.

Islam bukanlah agama yang pertama dalam mensyariatkan poligami tetapi sudah terdapat bangsa dan agama yang terdahulu dalam berpoligami seperti Cina, Hindu, Byblion dan Mesir dan kebanyakkannya tidak menghadkan bilangan berpoligami. Agama Lixi di China membenarkan berpoligami sehingga 130 orang begitu juga agama Yahudi, membenarkan berpoligami tanpa had dan kesemua nabi-nabi kitab Taurat tidak terkecuali kesemuanya berpoligami. Begitu juga agama Nasrani, tidak terdapat di dalam kitab-kitab Injil nas-nas yang jelas menegah dari berpoligami.

Telah berkata Jarji Zaidan (daripada kitab Wanita di antara Fiqh dan Qanun karangan as-Siba`ie) tiada nas yang jelas di dalam agama Nasrani yang menegah pengikutnya daripada berkahwin dengan dua orang perempuan atau lebih. Sekiranya mereka mengkehendaki perkara tersebut maka dibolehkan di sisi mereka, tetapi paderi-paderi mereka yang terdahulu mendapati memadai dengan seorang isteri lebih mudah untuk memelihara sistem kekeluargaan dan kesatuannya. Perkara ini (perkahwinan dengan hanya seorang wanita adalah lebih baik) telah tersebar di negara Rom sehingga mereka tidak mampu menakwilkan ayat-ayat perkahwinan (dalam kitab mereka) dan mereka menetapkan perkahwinan melebihi seorang wanita adalah haram sepertimana yang telah masyhur.

Pujian Pemikir-pemikir Barat Terhadap Sistem Poligami

Di dalam majalah, akhbar dan buku-buku kemasyarakatan pemikiran barat, banyak daripada tulisan-tulisan mereka mengesyorkan berkenaan sistem poligami. Mereka juga menyeru dan menggalakkan perkara tersebut kerana kesannya amat besar untuk memperbaiki masyarakat dan akhlak. Di antara cebisan kata-kata dan tulisan mereka :

1) Goustaf Laboun telah berkata dalam bukunya Tamadun Arab, sesungguhnya prinsip sistem poligami timur ialah salah satu sistem yang terbaik, mengangkat taraf kehidupan dan akhlak sesebuah bangsa. Selain itu, poligami menambahkan jalinan kekeluargaan dan memberikan wanita kemuliaan dan kegembiraan yang mana tidak dapat dilihat di eropah.

2) Telah berkata Anne Byzanet dalam bukunya Perkembangan Agama-Agama di Hindi, apabila kita menimbangkan perkara-perkara ini dengan neraca yang adil dan lurus, telah jelas kepada kita poligami di dalam Islam (yang memelihara,melindungi dan menjaga wanita) lebih tepat timbangannya daripada pelacur-pelacur barat, dimana mereka membenarkan seseorang lelaki mengambil seseorang wanita semata-mata untuk melampiaskan syahwatnya kemudian dicampaknya di jalan.

Hikmah Poligami pada pandangan Islam

Untuk menjelaskan hikmah poligami pada pandangan Islam, dapat dibahagikan kepada 3 perkara, 1) Faedah kepada masyarakat 2) Kemaslahatan Individu 3) Hikmah Kejadian

Faedah Kemasyarakatan :

Telah jelas kepada kita dua keadaan yang tidak dapat dinafikan berlakunya perkara tersebut :

-Pertambahan wanita berbanding lelaki : Sepertimana berlaku di kebanyakkan negara-negara eropah, pertambahan wanita sehingga tempoh tamatnya peperangan menjangkaui lelaki dan statistik menunjukkan di Findland, 3 daripada 4 bayi yang dilahirkan adalah perempuan. Maka keadaan ini poligami menjadi satu kemestian dalam menangani masalah ini.

-Kekurangan lelaki daripada wanita. Kekurangan yang bersangatan kesan daripada peperangan yang memusnahkan. Negara-negara eropah telah menyertai peperangan Dunia Kedua selama ¼ kurun, kesan daripada itu telah membunuh jutaan jiwa lelaki dan wanita telah menjadi kelompok yang besar dari kalangan dara dan janda.

Kemaslahatan Individu.

-sekiranya si isteri seorang yang mandul, manakala si suami menginginkan zuriat.
- sekiranya si isteri di timpa musibah dengan penyakit kronik atau berjangkit atau menjijikan serta tidak mampu untuk menjalinkan hubungan suami isteri.
-Sekiranya seorang suami yang selalu bermusafir dan tinggal di tempat tersebut dalam tempoh yang lama.
-Sekiranya seorang suami sangat kuat batinnya sehingga tidak memadai bersama isterinya sama ada isterinya tua, lemah dan sabagainya.
-Sekiranya seorang yang menginginkan anak yang ramai.

Maka perkara-perkara di atas memerlukan kepada seseorang itu untuk berpoligami demi kemaslahatan individu tersebut daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak.

Hikmah Diciptakan

Apabila bilangan wanita terlalu ramai melebihi lelaki maka poligami itu merupakan salah satu penyelesaian dari sudut akhlak dan kemasyarakatan kerana poligami itu lebih baik daripada membiarkan wanita terus membujang dan bertambah melebihi kaum lelaki sekaligus menyebabkan berlakunya perkara tidak bermoral.

Statistik juga menunjukkan di Eropah dan Amerika berlakunya pertambahan anak-anak luar nikah dengan pertambahan yang berterusan dan menyebabkan timbulnya kebimbangan dalam masyarakat. Perkara ini mungkin tidak akan berlaku kecuali hanya membenarkan seorang lelaki hanya untuk seorang wanita.

Perbandingan Di Antara Poligami Islam Dan Selainnya

Sistem poligami Islam dibentuk dengan akhlak dan kemanusiaan. Dari sudut akhlak, tidak dibenarkan seseorang lelaki berhubung dengan seseorang wanita melainkan apabila dia menjadi isteri dengan syarat tidak melebihi 4 orang wanita. Dari sudut kemanusiaan, dapat mengurangkan masalah-masalah kemasyarakatandengan menempatkan wanita-wanita yang tidak bersuami untuk dipelihara dan dijaga.

Manakala sistem poligami barat yang berlaku dalam kehidupan tidak berlandaskan syariat dan perundanganserta tidak berlaku dengan nama berbilang isteri tetapi dengan nama sahabat atau teman. Perkara sebegini menyebabkan poligami yang tiada akhirnya.

Hukum berpoligami dalam syariat Islam

1) قال تعالى : فانكحوا ما طاب لكم من النساء (النساء 3)
Ayat di atas menunjukkan harus berkahwin dan tidak wajib. Sekiranya harus, maka seseorang muslim diberi pilihan berkahwin satu atau pun lebih.

2) Tidak harus (haram) berkahwin melebihi daripada 4 orang wanita dalam satu masa.

قال تعالى : فانكحوا ما طاب لكم من النساء مثنى وثلث وربع.... (النساء 3)
Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Abu Daud dalam sunan mereka, Qais bin Haris telah memeluk Islam dan dia mempunyai 8 orang isteri. Maka diberitahu kepada Rasullullah perkara lalu baginda bersabda : pilihlah 4 orang dikalangan mereka itu.

3) Disyarat berlakunya adil terhadap isteri-isteri

قال تعالى : فان خفتم ألا تعدلوا فوحدة أو ما ملكت أيمنكم ذلك أدنى ألا تعولوا.. (النساء 3)
Maka sesiapa yang tidak mampu berbuat adil, tidak harus pada syarak dia berkahwin melebihi daripada satu.

4) Berlaku adil dalam memberi kasih-sayang di antara isteri

قال تعالى : ولن تستطيعوا أن تعدلوا بين النساء ولو حرصتم,فلا تميلوا كل الميل فتذروها كالمعلقة وأن تصلحوا وتتقوا فان الله كان غفورا رحيما. (النساء 129 )

5) Disyaratkan mempunyai kemampuan untuk memberi nafkah kepada mereka yang ingan berpoligami. Perkara ini disyaratkan oleh Imam Syafie dalam memahami ayat ini.

قال تعالى : : فان خفتم ألا تعدلوا فوحدة أو ما ملكت أيمنكم ذلك أدنى ألا تعولوا.. (النساء 3)

Penutup

Berkahwin melebihi daripada satu atau berpoligami mempunyai hikmah serta manfaatnya.

Adakah kita tidak mengetahui ketika Allah Taala mensyariatkan bagi hamba-Nya perundangan dan dia menetapkan bagi mereka prinsip, dia mengetahui apa yang terbaik bagi mereka dan dia mengetahui apa yang menjamin kebahagiaan dan kestabilan mereka?

Adakah kita tidak mendengari berapa ramai pemikir-pemikir eropah dan dikebanyakkan Negara menyeru supaya bersistemkan system poligami?

Adakah kita tidak membaca akhbar, majalah tentang pertambahan anak-anak luar nikah dan hubungan haram di antara lelaki dan perempuan?

Dan apa lagi yang perlu dikatakan selepas kita mengambil poligami sebagai salah perkara yang disyariatkan oleh Allah S.W.T.

Wallahu a’lam

Ringkasan dan terjemahan serta olahan daripada kitab تتعدد الزوجات في الاسلام

Muhammad Zikri Mohamad Zaki Felo MANHAL PMRAM 2012

Sumber : PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL