MINDA PIMPINAN | REDHA, WALAU BERAT TAPI BERKAT

 



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ اْلإِيْمَانِ وَاْلإِسْلاَمِ. وَنُصَلِّيْ وَنُسَلِّمُ عَلَى خَيْرِ اْلأَنَامِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ


Allah timpakan ujian supaya kita bersabar dan redha.


Firman Allah dalam Surah Ali Imran (3) : 139

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِين

maksudnya : dan janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.


Apa yang kita faham tentang redha. Redha itu apabila kita tidak lagi bertanya kenapa. Memang bibir mudah melafaz redha tetapi, hakikatnya hati sendiri yang tahu  betapa payah nak redha. Mungkin kita mula belajar untuk redha, tapi dalam tempoh belajar untuk redha itu pasti ada ujian untuk melihat keteguhan iman kita pada Allah .


Kita manusia biasa, bukan kita tidak pernah  berusaha untuk redha namun hakikat untuk mendidik hati sendiri itu jauh lebih payah dari mendidik hati orang lain. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Kita selalu tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita.


Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya. Mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.


Bukankah Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu atas diri kita. Boleh jadi dengan ujian itu menambahkan dan meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah.


Firman Allah SWT dalam Surah Al 'Ankabut (29) : 2-3

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ 

2. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

وَلَقَدْ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْكَٰذِبِينَ 

3. Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.


Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya. Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi untuk menguji tahap keimanan kita terhadap Allah. Jika iman kita teguh dan kuat pasti kita tidak akan sesekali mengeluh dengan ujian yang diterima. 


Ujian yang ditimpakan ke atas para rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah swt. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Thaif, masyarakat Thaif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina, dan melempari baginda dengan batu-batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan mereka, tetapi dengan tenang baginda menjawab, "biarlah mereka kerana mereka tidak tahu dan masih jahil"


Demikianlah orang yang tinggi taqwa dan keimanannya, tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ini apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan mudah berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah bertujuan menguji kita menggunakan orang itu sebagai perantaraan.


Jadi, percayalah yang Allah sangat kasih kepada hamba-hambaNya. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dan bersyukur dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah mengaturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Jadi apa yang perlu kita lakukan?


Pertama, berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt kerana Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya. Dekatkanlah diri kita dengan pencipta yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita.

Kedua,  berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin kita merasa diri kita tidak kuat hendak menghadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing.

Ketiga, yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita manjadi lemah.

Keempat, bersedia dalam menghadapi ujian yang seterusnya kerana selepas ujian itu selesai, pasti akan ada ujian lain akan datang. 


Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. 


Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apabila redha pasti akan ada keberkatan kerana redha itu walau berat tetapi ianya berkat. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

Keberkatan hidup bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dan dirasa. Kita tidak mungkin dapat menilai keberkatan hidup seseorang hanya dengan melihat harta kekayaan yang dimiliki atau tahap kedhaifan yang ditempuhi. Kekayaan bukanlah penanda aras bahawa hidup kita mendapat keberkatan.


Boleh jadi Allah datangkan kekayaan sebagai Istidraj yang akan membuat tahap kesesatan dan kealpaan kita bertambah. Kemiskinan pula, boleh jadi Allah datangkan sebagai medan ujian buat hamba yang dikasihinya.


Bagaimana untuk menilai bahawa hidup kita mendapat keberkatan atau tidak? 


1. Duit yang banyak, tetapi selalu tidak mencukupi. Duit banyak dihabiskan pada benda yang sia-sia. Sepatutnya apabila duit kita banyak, sedekah pun akan bertambah, malah kita menjadi semakin kedekut.

2. Buat kerja tetapi tidak pernah siap! Projek yang pelbagai, idea yang banyak, tetapi satu pun tidak berjaya. Macam-macam usaha dibuat, tetapi semuanya tergendala. Satu pun tidak berjaya dan tidak seperti yang dirancangkan.

3. Buat sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat! Baca buku banyak, tapi ilmu satu pun tidak lekat. Nasihat diri orang pandai, tapi diri sendiri yang tunggang langgang. Macam pepatah orang tua, “Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus”.

4. Masa dihabiskan dengan perkara yang  sia-sia! Leka dengan media sosial, bermain game, dan melepak dengan kawan-kawan. Tetapi untuk meluangkan masa membaca Al Quran 5 minit sehari pun kita tidak mampu. Solat pun di akhir waktu. Zikir langsung tak diamalkan. Malah berdoa untuk diri sendiri pun kita berasa malas.

5. Hati sentiasa gundah gulana! Bila hidup hilang berkatnya, apa pun yang kita capai dalam hidup tidak bermakna. Tiada rasa gembira yang hadir dalam hati. Terasa suatu kehilangan yang sangat besar iaitu ketenangan jiwa. 


Jika ia terjadi, Itu maknanya kita harus muhasabah dan periksa diri adakah kita semakin jauh dari Sang Pencipta? Jika kita tidak dekat dengan Allah, mana mungkin kita dapat redha dengan ujian yang kita terima dan bagaimana kita hendak meraih mardhatillah? Ingat semula apa doa kita yang telah Allah kabulkan, bersabar dan bersyukur dengan semua nikmat yang Allah telah berikan kepada kita, maka redha dan berkat akan kita perolehi InsyaAllah.


Wallahu A'lam..



...............................................................

NURSOLEHAH BINTI ZAINON

( Setiausaha HEWI BKPPPM Sesi 2019/2020 )


" Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan " 

" Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah " 

" BKPPPM_KeluargaKita " 

" Bersama_Bersatu "



Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL