PERJALANAN AGUNG 27 REJAB





    Menjelang 27 Rejab, masyarakat Islam di Malaysia dan dunia amnya akan memperingati satu peristiwa agung perjalanan bersejarah Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjidilharam ke Masjid Al-Aqsa dan mengembara ke langit me­ng­hadap Allah S.W.T. Peristiwa yang mencarik adat ini melampaui kemajuan teknologi dan garapan pemikiran manusia yang terhad lagi terbatas. Peristiwa ini merupakan satu peristiwa terbesar dalam sirah Nabi S.A.W. Allah S.W.T. berfirman: 



سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ



Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

(Surah Al-Isra’ : 1)


 Definasi Isra' Dan Mi'raj

    Syaikh Wahbah Az-Zuhaili dalam Tafsir Al Munir menjelaskan, isra (اسرى) atau sara (سرى) ertinya adalah perjalanan di malam hari manakala dalam Tafsir Ibnu Kathir pula mendefinasikan perjalanan dalam kegelapan malam. Secara istilah, isra’ adalah perjalanan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestina. Rujuk Tafsir Munir

    Mi’raj secara bahasa ertinya adalah naik. Secara istilah adalah naiknya Rasulullah S.A.W. ke sidratul muntaha. Firman Allah Taala:

 وَلَقَدْ رَآَهُ نَزْلَةً أُخْرَى* عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى* عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى* إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى* مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى* لَقَدْ رَأَى مِنْ آَيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain, (iaitu) di Sidratul Muntaha. Di dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.”


(Surah An-Najm : 13-18)

    Ketika menafsirkan ayat ini, Syaikh Wahbah Az-Zuhaili menjelaskan bahawa Sidratul Muntaha adalah tempat tertinggi di langit yang menjadi batas hujung pengetahuan dan amal para makhluk. Tidak seorang makhluk pun mengetahui apa yang ada di belakangnya.

“Tempat ini diserupakan dengan As-Sidrah yang artinya pohon nabk kerana mereka berkumpul di bawah teduhannya. Berdekatan Sidratul Muntaha ada syurga Al-Ma’wa yakni tempat tinggal arwah orang-orang mukmin yang bertaqwa,” terang Syaikh Wahbah Az Zuhaili. Rujuk Tafsir Munir


    Demi menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai iktibar dalam melalui kehidupan dunia dan akhirat sebagaimana didambakan oleh setiap Muslimin. Banyak iktibar dan pengajaran boleh diteliti daripada peris­tiwa agung ini.  


 Perjalanan Isra' Dan Mi'raj


    Menjelang perjalanan mulia tersebut, peristiwa pembelahan dada kedua terjadi ketika baginda tidur di Masjidil Haram. Tidurnya para Nabi bukan seperti tidurnya manusia biasa iaitu mata mereka tertutup tetapi hati mereka berjaga ketika tidur. Rujuk Tafsir Ibnu Kathir 


    Nabi SAW bersabda : “Suatu ketika, ketika berada di Mekah atap rumahku terbuka, kemudian Jibril turun  dan membelah dadaku lalu mencucinya dengan air zamzam. Ia kemudian datang membawa wadah emas yang penuh dengan hikmah dan iman, dan menuangkannya dalam dadaku, setelah itu menutupnya.”

(Bukhari : 3342, Muslim : 162) 

    Peristiwa ini merupakan tasliyah dari Allah S.W.T. buat kekasih-Nya selepas dilanda kesedihan atas kewafatan isterinya tercinta, Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Kejadian ini disebut sebagai tahun kesedihan. Kemudian, Nabi SAW diperjalankan di malam hari dengan mengendarai Buraq ke Baitul Maqdis.


“Buraq adalah binatang yang berkulit putih berukuran Panjang, lebih besar dari keledai dan lebih kecil dari baghal, ia menginjakkan kakinya di akhir pandangan matanya.” (Muslim : 162) 

    Israk Mikraj bukanlah sekadar cerita biasa yang diulang tayang setiap kali menjelang tanggal 27 Rejab. Selain itu, ia mengajak Muslimin untuk memperkukuhkan pegangan berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan akidah yang membinasakan.


    Perjalanan Baginda Nabi Muhammad S.A.W. dari masjid ke masjid menunjukkan betapa masjid memainkan peranan penting bagi melestarikan kehidupan harmoni dunia dan akhirat. Kewujudan masjid bukanlah sekadar syi'ar keagamaan. Menjadi tanggung jawab Muslimin untuk mengimarahkan masjid dan memelihara kesuciannya sepanjang masa. Masjid juga bukan sekadar tempat untuk solat Jumaat dan tempat sembahyang jenazah sahaja.


    Fungsinya luas sehingga pada zaman Nabi S.A.W. menjadi tempat menyambut delegasi luar negara dan menyelesaikan masalah umat. Kaum Muslimin juga diingatkan supaya tidak sombong atau tidak mempedulikan panggilan Allah SWT untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid.


    Oleh sebab itulah saranan untuk menggapai kejayaan duniawi dan ukhrawi. Kesibukan tugasan seharian juga bukanlah penghalang untuk melaksanakan solat di masjid. Malah boleh jadi dengan cara itu segala urusan seharian dipermudahkan di samping beroleh nikmat keberkatan masa, rezeki dan umur yang diharap-harapkan oleh para Mukminin.


    Dalam perjalanan Mikraj baginda Nabi S.A.W. ditunjukkan dengan gambaran manusia yang menanam dan menuai hasil tanaman mereka pada hari yang sama, tanpa henti. Ketika ditanya kepada Malaikat Jibril yang menemaninya, dikatakan itu ialah balasan orang yang berjihad di jalan Allah S.W.T. dengan dilipat gandakan amalan mereka sehingga 700 kali ganda di sisi Allah S.W.T.


    Justeru setiap Muslimin perlu berjihad dalam melaksanakan pelbagai ketaatan tanpa rasa jemu. Namun, realitinya ia bukan mudah untuk dilaksanakan. Pastinya terdapat pelbagai halangan dan ujian dalam mendekatkan diri kepada Ilahi sehingga memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit.


    Malah dalam keadaan tertentu seseorang kemungkinan terpaksa mengorbankan keseronokan dunia yang sementara demi berharap ganjaran di hari kemudian. Yakin dan percayalah segala amalan ibadah dan kebajikan pasti dibalas dengan ganjaran yang setimpal oleh-Nya. Pelbagai gambaran dosa dipertontonkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. sepanjang perjalanan Mikraj seharusnya dijadikan iktibar oleh kaum Muslimin untuk berhenti daripada terus bergelumang dosa.


    Tidak ada gunanya berbangga-bangga dan menunjukkan kepada dunia akan pelbagai dosa yang sengaja dilakukan kerana kelak akan diseksa dengan azab yang tidak tertanggung. Golongan yang suka memuat naik pelbagai perilaku maksiat ke media sosial sebagai contohnya dinasihatkan supaya berfikir seribu kali sebelum berbuat demikian kerana akan dipertanggungjawabkan dengan dosa seluruh dunia yang menontonnya. Ini termasuklah memaparkan gambar tidak menutup aurat, menyebarkan fitnah dan berita palsu.


    Golongan ini diingatkan dengan gambaran manusia yang memotong lidahnya berulang kali sebagai balasan memfitnah, mengumpat dan mengeji sesama manusia. Solat lima waktu yang difardukan pada malam tersebut secara langsung oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. menunjukkan kepentingan solat dalam mempertautkan hubungan makhluk dengan khalik (Pencipta).


    Maka ibadah solat tidak patut dikesampingkan dalam kehidupan Muslim. Ia hendaklah dilakukan dengan khusyuk, tawaduk sambil berharap keampunan dan keredaan-Nya. Seseorang yang menjaga solat pasti akan dipermudah segala urusan sebaliknya sesiapa yang mengabaikan solat kemungkinan berhadapan dengan pelbagai musibah dalam mengharungi liku-liku kehidupan.


Penutup 

    Perjalanan Isra' dan Mi'raj menunjukkan betapa Allah S.W.T. Maha Berkuasa untuk menjadikan segala sesuatu termasuk yang tidak dapat digambarkan oleh logik pemikiran manusia. Untuk itu setiap insan wajib meletakkan pergantungan hanya kepada-Nya. Usah mendabik dada dan berbangga dengan segala pencapaian yang ada kerana tanpa izin dan perkenan daripada-Nya, manusia tidak mampu melakukan apa-apa.


    Allah S.W.T. juga Maha Berkuasa untuk menguji hambanya dengan ujian kehilangan nyawa, kekurangan rezeki, ketakutan dan kesedihan sehingga seseorang yang terpelihara daripada musibah disunatkan pula melakukan sujud sebagai tanda bersyukur.


    Sehubungan itu, peringatan Isra' dan Mi'raj hendaklah dijadikan iktibar dan pengajaran untuk terus memperkukuh hubungan dengan Allah S.W.T. melalui apa sahaja aktiviti ibadat yang disyariatkan. Apatah lagi menjelang bulan Ramadan al-Mubarak yang akan kunjung tiba tidak berapa lama lagi.



DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.


Rujukan :
Kitab Sirah Nabi Dalam Hitungan Minit, karya Dr. Nasir Misfir Al-Zahrani
http://m.utusan.com.my/rencana/utama/israk-mikraj-iktibar-sepanjang-zaman-1.647654


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL