PENGORBANAN ANTARA RETORIK DAN HAKIKAT


Alhamdulillah, selaut kesyukuran dipanjatkan kepada Allah subhanahu wa taala, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda, seterusnya para pengikut dan penyambung risalah Islam seluruhnya.

Alhamdulillah, selama-lamanya syukur atas kurniaan nikmat Iman dan Islam, kesihatan dan kelapangan, kita masih diberi nafas oleh Allah Taala dalam memikul amanah sebagai Khalifah di muka bumi ini.

Dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran dan rintangan dewasa ini, setiap insan harus menghadapi dan menerima segala sunnatullah yang terkadang tidak seperti yang diharapkan. Istilah pengorbanan juga telah menjadi asam garam dalam kehidupan seseorang insan.

Berkorban demi sahabat, demi insan tersayang, demi maruah dan sebagainya. Namun, sejauh mana erti pengorbanan yang digembar-gemburkan itu bertepatan dengan syariat Islam menjadi tanda tanya.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah ,

Islam adalah agama yang syumul, mudah dan tidak menyusahkan. Ia menuntut umatnya untuk melakukan pengorbanan demi memelihara kemuliaan Islam itu sendiri. Ayuh kita soroti erti pengorbanan sebenar yang dituntut oleh Islam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri mengorbankan seluruh hidup Baginda dalam menyampaikan risalah Islam bermula sejak kebangkitan sebagai utusan Allah sehingga tersebarnya Islam ke seluruh dunia dan akhirnya sampai kepada kita hari ini.

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna ada menyebut berkenaan tadhiyah (pengorbanan) iaitu berkorban yang membawa makna menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Beliau turut menyatakan bahawa tiada jihad di dunia ini yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi matlamat dakwah Islami ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik.

Firman ALLAH Taala :

“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka ”. (At-Taubah: 111)


Setiap orang yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai Nabi dan Rasul, maka dituntut darinya melakukan pengorbanan.

Firman ALLAH Taala :

“ Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah ), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak”. (Al-Baqarah: 245)

Memetik kisah Saidina Abu Bakar Radiallahu Anhu yang telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepadanya : "Apakah yang kau tinggalkan kepada keluarga kamu? Lalu beliau menjawab: Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-NYA". Alangkah mulianya hati para sahabat, sanggup mengorbankan kepentingan diri demi kecintaan kepada Allah, Rasul dan agama Islam itu sendiri.

Apabila jiwa telah dibeli oleh Allah, tiada siapa yang mampu menggugat hati seseorang agar tidak berkorban untuk Islam.

Firman ALLAH Taala :

“ Dan apa sahaja yang kamu sedekahkan, Allah akan menggantinya. Dialah sebaik-baik pemberi rezeki “. (Saba’ :39)

Setiap apa yang dikorbankan oleh seseorang muslim dalam jalan dakwah akan diberi balasan dan ganjaran sama ada kecil mahupun besar. Sesungguhnya nilai pengorbanan di sisi Allah adalah sangat mahal. Hanya mereka yang terpilih oleh Allah sahaja yang akan sanggup melakukan pengorbanan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Al-Quran sudah membentangkan bukti, lipatan sirah pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat serta pejuang agama Allah juga telah kita imbau bersama, namun adakah apa yang telah kita korbankan hari ini, benar-benar menepati pengorbanan menurut syariat Islam? Adakah istilah pengorbanan hanya untuk individu tertentu sahaja atau pada masa tertentu sahaja? Tepuk dada, tanyalah iman.

Sempena sambutan Eidul Adha 1432H, ayuh kita menyelusuri sirah mengutip ibrah. Apabila menyentuh berkenaan pengorbanan, ingatan kita pasti akan terus terbias mengingati lipatan sirah para Anbiya’ yang terlebih dahulu merasai pahit manisnya pengorbanan dalam menunaikan kewajipan kepada Allah Taala.

Antara sirah teragung yang menjadi sunnah setiap muslim bila tibanya Zulhijjah setiap tahun, iaitu kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam yang diperintahkan oleh Allah Taala untuk menyembelih anak Baginda sendiri iaitu Nabi Ismail Alaihissalam.

Alangkah mulianya hati seorang Nabi , tanpa keraguan, taat menuruti perintah Rabbul Izzati yang pada pemikiran manusia biasa tidak mampu untuk melaksanakannya. Keyakinan terhadap janji Allah mendorong Nabi Ibrahim Alaihissalam mengambil keputusan tanpa ada sebarang keraguan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Selaku yang bergelar manusia yang mempunyai pelbagai amanah untuk ditunaikan, tidak dapat dinafikan lagi bahawa berkorban adalah sunnatullah yang tidak dapat dielakkan. Hamba Allah, pelajar, sahabat, pendakwah, anak, ibu, guru dan sebagainya. Semuanya menuntut suatu pengorbanan dalam meneruskan kehidupan di alam yang fana ini.

Tidak dinamakan seorang muslim yang hakiki jika hidup seseorang itu sunyi dan sepi daripada melakukan pengorbanan untuk kepentingan Islam. Ingatlah bahawa, adalah menjadi suatu kerugian dan kesalahan kepada seseorang muslim itu jika hari-hari dalam hidupnya berakhir tanpa ada sebarang pengorbanan untuk Islam.

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna berpesan : "Sesungguhnya medan perkataan berbeza dengan medan khayalan. Medan amal juga berbeza dengan medan perkataan. Medan jihad berbeza dengan amal. Medan jihad yang haq berbeza secara kontraduktif dengan medan jihad yang batil".

Amat ditakuti jika pengorbanan untuk kepentingan peribadi mengatasi pengorbanan untuk agama Islam. Nauzubillahi min zalik. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan sebelum ini menepati syariat Islam dan dikira sebagai ibadah oleh Allah Taala serta sentiasa dalam redha-NYA, insyaAllah. Ayuh marilah kita bersama-sama berkorban untuk Islam.

Wallahu Taala A’lam.

Salam Eidul Adha 1432H

Disediakan oleh :
SUMAIYAH BINTI ZAKARIA,
Pengerusi,
PMRAM CAWANGAN ISKANDARIAH,
SESI 2011/2012.
Disemak oleh :
Felo MANHAL PMRAM

Sumber : MANHAL PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963